CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, March 31, 2008

BANGUNLAH DARI LELAPMU


Bangunlah dari lelapmu
Kerana suria kan terbit berseri
Meninggalkan subuh di dinihari
dan kau perlu berlari mencari
Khazanah di perut dan di atas bumi
Inilah kehendak ertinya hidup
Usah biarkan layu dan redup.

Bangunlah dari lelapmu
Jangan bermain dengan mimpi
Yang bukan nyata sekadar ilusi
Kerana di bahumu dipikul janji
Wajib ditunai jangan dimungkiri
Inilah hasrat hidup hakiki
Sebagai manusia yang sejati.

Bangunlah dari lelapmu
Tika kokok ayam kian mengiang
Bagai berkata hari dah siang
Isi hatimu jangan bergoyang
Dalam benakmu jangan melayang
Kerana melihat bayang-bayang
Ilusi penari Si Ulit Mayang.

Bangunlah dari lelapmu
Kerana gelap telah berlalu
Buka jendela bukalah pintu
Kepada Tuhan memohon restu
Pijaklah bumi tanpa dibantu
Banyaknya rezeki sudah ditentu
Asalkan usaha tak kira waktu

Noorhamy
1 Mac, 2008

KU LIHAT

Ada suara manusia
Ada sorakan tangan
Juga ada lolongan serigala
Menang tewas sama cerita
Disorak dan dilolong.

Wajahnya seperti manusia
Tingkahnya bukan manusia
Tiada harga diri
Terlupa hidunya berlari
Tapi pengecut menampil diri.

Generasi muda
Mana wajahmu?
Jangan hitamkan wajahmu
Dengan lagak yang keliru

Hasil Nukilan: Noorhamy
30 Nov. 05

INILAH TAFSIR


Dalam erti ada tafsir
Dalam tafsir ada erti
Dalam tafsir ada tafsir
Dalam erti ada erti

Dalam tafsir sukar dimengerti
Umpama mimpi dalam mimpi
Dalam mimpi ada mimpi
Dalam mimpi ada satu mimpi
Dalam satu mimpi ada dua mimpi
Dalam mimpi berganti mimpi

Dalam tafsir berbagai erti
Rahsia tafsir tiada mengerti
Berganti tafsir berbagai erti
Berbagai erti berganti erti
Berganti erti berbagai tafsir
Berbagai tafsir tiada erti

Tiada erti tiada tafsir
Tiada Tafsir tiada erti
Tinggallah erti tinggalah tafsir
Tinggallah tafsir tinggallah erti
Erti dan tafsir menjadi tercicir.

Hasil Nukilan: Danial Pine

PADAH DADAH

Kaku tidak mengaku kaku
Tapi sudah berlaku
Kaku seperti mayat terpaku
Umpama ketul batu yang beku

Bergerak bagai bangkai bernyawa
Terhuyung hayang bagai melayang
Badan terkulai tersandar pulang
Mati terbujur tidak bergoyang
Wajah sayu bagaikan bayang

Bangsa tercemar,budaya terputar
Orang pintar menjadi pudar
Matilah bangsa budaya hampar
Pulanglah nyawa diusir badan
Persis harimau tinggalkan belang.

Hasil Nukilan: Danial Pine

CERMIN BUDAYA


Katakan samar tetapi kabur
Berdiri salah , duduk pun salah
Jadi mengalah tapi serba salah
Akhirnya juga menjadi lelah

Apakah itu kata biasa
Tetapi biasa ditempat kerja
Tunggu-tunggu akhirnya bersila
Dipandang dengan mata sebelah
Persis si ikan pilah-pilah

Dipanggil tidak di renung saja
Tunggu saja ada gilirannya
Gelisah wajah tidak dilayan
Akhirnya jadi si batu nisan

Budaya kita terbalik ukir
Siperut buncit jadi umpama
Sikepis perut tinggal kelaparan
Seperti mayat diawetkan

Orang kita budaya kita
Simata biru jadi tauladan
Semua orang menyembah rata
Orang kita buta tercelah

Duduk dipinggir tertungging juga
Hati mana tidak keruan
Kuman di seberang nampak menyerlah
Gajah di depan bagai tak nyata
Pelanduk di depan melenting pula
Hati rawan tersinggir juga
Lautan mana tidak terduga
Umpama haruan memakan anak

Hasil Nukilan: Danial Pine

HAKIKAT HATI


Suci berwudhuk mendirikan solat
Jiwa dan minda bersatu kiblat
Solat didirikan darjat mulia
Cermin amal alat bersolat
Sifat tawadhuk takutkan Allah
Seketul hati dalam pegangan
Hati tergerak menjadi syarat.

Berhentikan solat jadi mudarat
Memperelokkan diri mendiri solat
Rohani dan Jasmani terkunci akal
Akan tercela perbuatan mulia.

Raja hati segala anggota
kuasai hawa, nafsu tersirat
Pusat rujukan segala iman
Turunnya malaikat berhati mulia
Juga sarang syaitan dan iblis
membisikkan godaan setiap ruang
kepingin menguasai menjadi raja yang terbilang
Hakikat hati diri manusia.
Bersifat alpa jadi bencana.

Hasil Nukilan: Danial Pine

BANJIR


Banjir 1
Gendang dipalu-palu
Semua orang sibuk melaluk
Datang derma bertalu-talu
Mangsa senyum lebar

Banjir 2,3,4,5 dan seterusnya
Gendang sudah lama dipalu-palu
Namun ada dengar dan pura-pura tak dengar
Mangsa menangis mengenang nasib

Hasil Nukilan: Hj Md Harun HK

Friday, March 28, 2008

RENUNG


Siang malam silih berganti
Mengupas rahsia seribu erti
Setiap detik menanti hari
Yang dinanti belumlah pasti

Siang malam silih berganti
Mengupas rahsia seribu erti
Hidup perlu mencari dan berdikari
Untuk memimpin dihari nanti

Siang malam silih berganti
Mengupas rahsia seribu erti
Bila tiba hari dinanti
Tiada kudrat mengelak diri

Siang malam silih berganti
Mengupas rahsia seribu erti
penuhi waktumu dengan mengabdi diri
sebagai bekalan menemuiNya yang hakiki

PenaGila

KUNCI

Melangkah terus melangkah
Jangan sekali terundur langkah
Redah terus redah
Jangan sekali berpatah arah
Maju terus maju
Walau rintangan perlu dituju
Lebur besi kerana api
Lebur diri kerana hati
Fikir mati… tetap mati
Hanya tawakal bekalan diri
Berdikari umpama kunci
KepadaNya berserah diri

PenaGila

Thursday, March 20, 2008

KOKOK


Kokoklah sekuat-kuatnya
Kokoklah sepuas-puasnya
Kokoklah bekali-kali
Namun mereka tetap lali
Lali dari kebenaran
Lali kerana dunia
Lali kerana lena dan mimpi indah

Kau siapa…?
Kokok mu cuma
Suara sumbang
Menyakitkan telinga
Menganggu ketenangan
Menagih simpati
Dari mereka yang lalai

Tapi kau masih
Terus berkokok
Sehingga nyawa berkecai
Sehingga kebenaran menjelma
Meleburkan kebatilan
Sebagai peringatan
generasi mudamu

PenaGila

JERAT


Awas
Jerat ada di mana-mana sekarang
Di rumah
Di TV
Di radio
Di surat khabar
Di internet
Di mulut
Di hati
Mesti hati-hati
Jika tidak kita akan mati
Atau kita akan terpenjara
Seumur hidup

Hasil Nukilan: Hj Md Harun HK

CENGKAMAN MAUT

Tidak berapa apa
Namanya
Atau saja sekelumit
Asalkan ada
Tesilap langkah
Akan mencengkam
Sehingga maut

Hasil Nukilan: Hj Md Harun HK

Tuesday, March 18, 2008

TIDUR


Tidur disangka tidur
Namun memang kau tidur
Tubuh mu masih kaku
Seperti tidur tidak bangun

Hei…! kau makan benda kotor
Dunia mu sekarang gelap
Tiada penghujung kegelapan
Tidur mu tetap tidur.

Sekejap kau bingung
Sekejap kau meracau
Tapi tidak menemui jawapan
Kerana kau masih tidur

Sekarang duniamu entah di mana
Berpijak tak terasa umpama tanpa jasad
Merana tak terkata
tapi tidak ada jalan pulang

Waktu mu telah sampai
Sekujur tubuh menanti balasan
Tidur mu bukan lagi impian
Hanya menanti kesengsaraan

Benda itu… benda itu… benda itu…
Bukan penyelesaian
Bukan ketenangan
Bukan keamanan
Tapi kekecewaan yang mendatang

PenaGila